Sunday, 1 October 2017

Topik 2: Cara-cara penyelesaian isu perkauman melalui masyarakat

2.1 Saranan dan pengaruh daripada ibubapa


Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Orang pertama yang paling awal mendekati anak-anak adalah ibu bapa. Oleh itu fikiran dan kelakuan kanak-kanak akan dipengaruhi oleh ibu bapa mereka. Contohnya anak-anak mereka akan didedahkan tentang isu-isu kaum sejak kecil lagi. Disebabkan kebanyakkan ibubapa di Malaysia masih mempunyai tanggapan yang salah terhadap isu-isu kaum seperti peristiwa 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969 iaitu rusuhan yang berlaku dan kemucak masalah perpaduan di Malaysia, maka mereka akan memberi fakta yang terpesong yang akan mempengaruhi anak-anak terhadap bangsa-bangsa yang lain di Malaysia. Hal ini menyebabkan perpaduan dan persepakatan antara kaum dan bangsa sukar dicapai. Oleh itu, golongan ibu bapa perlulah mengajar anak-anak mereka hormat-menghormati dan tidak menyinggung perasaan orang lain tidak mengira bangsa atau agama.

2.2 Menjadikan guru sebagai agen penyemai perpaduan kaum

Guru merupakan agen kerajaan untuk menyampaikan dan melaksanakan dasar pendidikan kepada murid dan masyarakat.  Aspek guru juga menjadi cabaran untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum. Guru perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup dan lengkap untuk menghadapi pelbagai situasi di sekolah dan masyarakat sekitarnya.  Malah, guru perlu memahami misi, objektif dan matlamat akhir sesuatu dasar pendidikan supaya hasrat perlaksanaan sesuatu dasar itu terlaksana.

Jika seseorang guru itu cetek ilmu dan malas untuk mengambil tahu isu semasa, ia akan menimbulkan masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya membawa murid-murid ke arah matlamat yang salah menyebabkan salah satu matlamat iaitu mencapai perpaduan dan integrasi antara kaum tidak dapat dicapai.

Jelaslah bahawa, pihak kerajaan perlu memberi latihan dan kefahaman kepada setiap guru apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru supaya segala perancangan mengikut landasan yang betul dan generasi yang akan datang lahir sebagai individu yang mempunyai sifat cinta dan membudayakan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat. Guru juga perlu mengajar murid-murid tentang kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Malaysia melalui subjek Pendidikan Seni Visual (PSV). Pendidikan kesenian ini akan membuka dan mematangkan minda murid-murid. Mereka boleh menerima dan akan menghormati budaya orang lain. Minat yang disemai dari peringkat awal lagi akan melahirkan insan-insan seni dalam pelbagai bidang seperti seni lakonan, seni tarian, nyanyian, seni lukis  dan sebagainya.

Insan-insan seni yang memahami kebudayaan dan sensitiviti bangsa lain akan melahirkan karya-karya yang bercorak perpaduan. Melalui karya-karya sebegini, ia akan membantu membuka minda individu lain ke arah kecemerlangan perpaduan. Sebagai contohnya seorang pengarah filem menghasilkan filem yang bercorak patriotik akan memberi kesan yang positif dan prasangka baik di kalangan penonton.

2.3 Menyemai sikap perpaduan antara kaum.
                         

Antara kepentingan perpaduan kaum di Malaysia ialah mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sebagai rakyat Malaysia, pasti kita sudah tidak asing lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang kaum di negara kita seperti Cina, Melayu, India, Kadazan dan sebagainya. Peribahasa “ rambut sama hitam, hati lain-lain” jelas menunjukkan walaupun manusia mempunyai warna rambut yang sama tetapi sukma dan keinginan manusia adalah berbeza. Dengan mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat, barulah masyarakat harmoni yang mempunyai aspirasi yang sama dapat tercapai. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita hendaklah mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia,seperti kata peribahasa, “ bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

No comments:

Post a Comment