Sunday, 1 October 2017

Topik 3: Cara-cara penyelesaian isu perkauman melalui Negara

3.1 Memperbaiki dasar pendidikan negara untuk membangunkan ekonomi kaum.

Dasar Pendidikan negara perlulah dirancang dan dilaksanakan dengan matlamat untuk melahirkan individu yang berilmu dan berkemahiran yang akhirnya mampu untuk bersaing dalam pelbagai bidang pada masa akan datang terutamanya bidang ekonomi.  Dalam sudut ekonomi ini, jurang ekonomi yang jauh berbeza antara kaum di negara ini menyulitkan kerajaan mencapai agenda perpaduan.  Melalui pendidikan, pengenalan identiti kaum mengikut jenis pekerjaan juga dapat dihilangkan. Untuk menilai sama ada berjaya atau tidak  matlamat dan hasrat kerajaan, ianya boleh dilihat dari sudut kejayaan mengurangkan jurang ekonomi di antara kaum dan kejayaan menghapuskan pengenalan identiti kaum melalui bidang ekonomi.

Kita juga memahami bahawa jurang ekonomi yang besar akan menyukarkan agenda perpaduan dan integrasi kaum. Di negara ini, kaum Cina mendominasi bidang ekonomi. Keadaan ini menimbulkan rasa iri hati kaum lain terhadap kaum Cina. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan melalui dasar pendidikan hendaklah melahirkan ramai golongan terpelajar dalam bidang ekonomi. Justeru itu, ia akan membawa kepada kemunculan individu-individu daripada pelbagai kaum untuk menyaingi kaum cina dalam bidang ekonomi khususnya bidang perniagaan.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu memikirkan satu cara untuk meletakkan murid-murid daripada pelbagai kaum disatu sekolah yang sama supaya matlamat dasar pendidikan iaitu untuk menyatu dan mengintegrasikan kaum dapat dicapai. Penempatan murid daripada pelbagai kaum dalam satu sekolah atau kawasan mungkin dapat dilaksanakan sekiranya selepas kemerdekaan, kerajaan dapat mengubah keadaan ekonomi iaitu mewujudkan pelbagai pekerjaan yang menghapuskan pengenalan kerja mengikut kaum.

Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa, dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan boleh membantu melahirkan golongan yang terpelajar dan berilmu daripada pelbagai kaum. Golongan terpelajar ini pastinya berupaya merubah corak kehidupan dan ekonomi di negara ini. Tiada lagi monopoli ekonomi oleh suatu kaum sahaja, bahkan ekonomi Malaysia terbuka luas untuk diterokai oleh semua kaum. Melalui corak ekonomi yang lebih terbuka ini, jurang ekonomi di antara kaum dapat dikurangkan.

3.2 Menjadikan aktiviti sukan sebagai agen pengerat hubungan antara etnik

Negara kita telah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Contohnya sukan skuasy,  badminton, bola sepak dan sebagainya. Pelbagai lapisan masyarakat dan kaum telah menunjukkan semangat patriotik dengan bersatu memberikan sokongan kepada ahli-ahli sukan negara dan juga peserta-peserta yang terlibat. Kemenangan sama-sama diraikan dan kekalahan turut sama dirasai. Ini menunjukkan kejayaan aktiviti sukan dan permainan dalam institusi pendidikan dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang. 

Usaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-kurikulum di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi menampakkan hasil yang positif. Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti kebudayaan, keseniaan dan sukan, ianya menampakkan semangat perpaduan yang positif diantara pelajar-pelajar pelbagai kaum. Aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan saling percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat. Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang ko-kurikulum akan melahirkan individu pelajar yang berfikiran terbuka dan matang dalam perhubungan dan bersosial.

Melalui ko-kurikulum, bakat murid dapat diasah dan diperkembangkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi.  Malah, minat murid dalam bidang sukan dan kesenian dapat ditanam dan diperkembangkan.  Kejayaan seperti ini pastinya menjadikan kerajaan lebih ghairah dalam memperkenalkan dasar baru agar semua murid terlibat dalam aktiviti sebegini. Penubuhan sekolah sukan dan sekolah seni merupakan antara titik tolak usaha kerajaan dalam memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia. Dasar 1 Murid 1 Sukan juga telah dilaksanakan bermula tahun 2011 untuk memastikan perpaduan kaum dapat dicapai.

3.3 Media massa memberi pendedahan kebudayaan dalam pelbagai etnik

Media massa bukan hanya membekalkan hiburan, fakta dan data tertentu. Ia juga memberikan maklumat tentang matlamat, maksud dan kesignifikanan sesuatu peristiwa.  Media massa ini pula perlu peka dalam menyampaikan sesuatu dasar, lebih-lebih lagi jika isu tersebut menyentuh isu-isu sensitif supaya tidak menimbulkan konflik dikalangan masyarakat. Melalui matlamat yang tepat, masyarakat akan dapat memahami kehendak dan matlamat kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.

3.4 Menjadikan rukun negara sebagai panduan

Pematuhan terhadap peraturan, undang-undang dan rukun negara, menunjukkan kita bersedia bersikap adil terhadap kaum lain dan menghormati amalan dan kepercayaan mereka serta hak mereka untuk hidup di negara ini.  Kita hendaklah menunjukkan bahawa kita mahukan yang terbaik untuk kaum lain sebagaimana kita mahukan yang terbaik untuk diri kita. Hal ini akan mendorong kita untuk lebih  bersikap bertolak ansur dan cuba memahami hak kaum lain. Kita tidak akan memperjuangkan hak untuk kaum kita semata-mata dengan menindas atau membelakangkan hak yang sepatutnya turut diterima oleh kaum lain. Kita juga akan sentiasa bersedia untuk berkongsi dalam sesuatu perkara yang dibenarkan oleh budaya kita tanpa mengorbankan prinsip undang-undang dan keadilan selaras dengan prinsip rukun negara.

No comments:

Post a Comment